CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Sunday, September 23, 2012

Isteri Yang Diuji

Seorang Isteri yang Diuji

Suaranya sungguh tenang. Walaupun masalahnya agak berat juga tetapi segala-galanya disuarakan begitu teratur.
“Ustaz, semuanya bermula apabila suami saya berpoligami,” luahnya perlahan.
“Sudah lama?”
“Baru sahaja… Sejak dua bulan yang lalu,” katanya.
“Puan rasa kecewa, marah?”
“Tidak. Insya-Allah, tidak. Saya boleh menerima segala-galanya dengan baik.”
“Jadi apa masalahnya?” tanya saya terkejut. Selalunya, punca masalah berlaku apabila isteri pertama tidak boleh menerima hakikat dia telah dimadukan.
“Masalahnya ialah ibu-bapa saya dan ipar-duai saya. Semuanya menentang. Mereka beranggapan saya telah dizalimi oleh suami. Mereka desak saya bertindak.”
“Puan bertindak?”
“Tidak. Saya tetap dengan pendirian saya. Saya ingin hadapi semua ini dengan tabah.”
“Alhamdulillah, kalau begitu… Jadi, apa masalahnya lagi?”
“Bila saya tidak mahu bertindak, mereka tuduh saya pula turut bersyubahat dengan suami. Mereka marahkan saya. Akibatnya hubungan saya dengan mereka renggang. Tegur sapa dan ziarah menziarahi tidak semeriah dulu lagi. Saya sedih diperlakukan begini.”
Saya diam. InsyaAllah itu akan memberi ruang untuknya menarik nafas dan mengatur semula perasaan. Percayalah, acap kali mereka yang mengadu bermasalah… kekadang tidak bermasalah langsung. Mereka hanya ingin ‘didengari’. Teringat apa yang sering ditegaskan oleh pakar psikologi, manusia peru didengar luahan dan rintihannya sama seperti mereka perlukan makanan.
“Puan, kunci keharmonian dalam poligami ini, insya-Allah, terletak di tangan puan dan suami, bukan di tangan ibu-bapa puan, ibu-bapa suami, apalagi oleh ipar-duai puan,” akhirnya saya bersuara. Perlahan-lahan. Satu-satu. Mengikut rentak suaranya.
Di hujung talian, saya dapat rasakan dia sedang sayu. Lalu saya teruskan,”Jika puan tabah, tenang dan kelihatan ‘steady’, orang lain tidak akan berani berbuat apa-apa. Mereka hanya akan ‘bising’ seketika sahaja. Kemudian, ketabahan puan itulah yang akan memadamkan segala-galanya. Apa rasa puan berpoligami?”
“Saya telah bersedia sejak suami menyatakan hasratnya. Ini sudah rezeki saya,” ujarnya.
Dalam diam, saya menyanjung sikap wanita ini. Dia menggunakan istilah ‘rezeki’. Ya, rezeki itu sinonim dengan kebaikan dan keberkatan. Ertinya, dia telah bersedia untuk menerima segala-galanya dengan tabah sejak awal lagi.
“Apa yang mendorong puan bertindak begitu?” tanya saya mendorong dia meluahkan segala isi hatinya. Dengan meluahkan segala niat, azam dan segala yang terpendam dalam jiwanya, insya-Allah dia akan lebih tabah dan yakin.
“Ustaz, suami saya baik. Bertanggung jawab. Saya yakin dia tidak bertindak sembarangan. Bukan kerana suka-suka. Saya yakin dia boleh bertanggung jawab dengan baik terhadap dua orang wanita.”
Sekarang giliran saya pula terdiam. Saya ingin belajar… Ingin belajar erti tabah daripada seorang isteri untuk menghargai isteri sendiri.
“Sejak awal lagi rumah tangga kami dibena atas cita-cita ingin mencari keredaan Allah. Dia jawapan istikharah saya, dan saya jawapan istiharah dia. Sebelas tahun berlalu, telah bermacam-macam-macam ujian kami lalui. Istikharah itu pun diujikan? Begitu yang saya baca dalam tulisan ustaz. Istikharah itu pun perlukan mujahadah. Alhamdulillah, segala-galanya dapat kami harungi bersama. Sekarang… ujian poligami.”
“Puan tidak rasa dieksploitasi?”
“Oh, tidak, “jawabnya dengan tegas, ” tidak sekali-kali ustaz. Memang ada lelaki yang ditakdirkan untuk memimpin lebih daripada seorang isteri…”
“Dan ada wanita yang ditakdirkan mampu menerima wanita lain berkongsi kebahagiaan bersama dengan suaminya,” pintas saya.
“Mengapa ibu-bapa dan ipar-duai saya bersikap begitu? Sedangkan saya yang menanggung segala-galanya?” Dia kembali kepada permasalahan asalnya.
“Itulah trauma masyarakat Melayu kita. Persepsi terhadap poligami terlalu negatif. Poligami disinonimkan dengan penzaliman dan penganiyaan. Padahal, poligami itu adalah satu perkongsian dan pembelaan.”
“Mungkin kerana pelaksanaan poligami yang begitu pincang selama ini,” balasnya.
“Kalau begitu, perkahwinan yang monogami pun bermasalah. Statistik terkini menunjukkan setiap 15 minit penceraian terjadi… apakah penyebabnya poligami?”
“Masyarakat kita hanya mengikut sentimen. Bukan berdasarkan ilmu dan fakta, ustaz.”
“Saya tidak nafikan, ada juga yang lelaki zalim yang berpoligami hanya untuk berseronok-seronok, mengikis harta, berbangga-bangga, hanya cuba-cuba,  dan sebab-sebab lain yang tidak syar’ie. Mereka ini bukan sahaja menzalimi isteri-isteri mereka  tetapi turut mencemarkan kesucian hukum Islam!”
“Jadi saya perlu biarkan sahaja sikap negatif ibu-bapa, mertua dan ipar-duai saya?”
“Selagi puan tabah, selagi suami puan berlaku adil dan bijak mengemudikan rumah tangga, insyaAllah semuanya akan reda dengan sendirinya.”
“Sunyi juga. Terasa kehilangan.”
“Inilah hikmah besar poligami puan. Supaya kita kukuh dan teguh meletakkan cinta pertama dan utama kita kepada Allah. Ini jalan yang ditakdirkan untuk puan untuk akrab dengan Allah. Kadangkala kehilangan akan menemukan kita kepada suatu yang lebih mulia dan berharga!”
“Saya akan kehilangan cinta suami?”
“Tidak. Dengan mencintai Allah, puan akan lebih mencintai kerana Allah dan dicintai oleh orang yang mencintai Allah. Doakan agar suami puan mencintai Allah.”
“Saya tidak pandai ustaz. Saya bukan ustazah. Hanya seorang suri rumah biasa. Tapi saya terus belajar dan mendengar. Saya ‘pelajar’ yang sedang bermujahadah!”
Itulah kunci segala-galanya. Cinta Allah itu diraih dengan mujahadah. Jangan cepat mendakwa bahagia jika usia perkahwinan baru memasuki tahun ke lima, ke enam atau kurang daripada itu. Tabah itu tidak dicapai hanya dengan kata-kata yang disulam oleh al Quran dan Al Hadis. Atau oleh sajak dan ungkapan yang indah dan puitis. Bukan. Tabah itu ditempa oleh keperitan mujahadah, pengorbanan perasaan dan sikap memberi yang tiada batasan… Jangan mengaku beriman jika belum diuji. Jangan mendakwa bahagia, jika belum banyak menderita… kerana bahagia itu ditempa oleh derita!
“Kekadang datang juga rasa cemburu… bagaimana?” kembali suara itu mengocak lamunan saya.
“Cemburu itu fitrah. Itu tanda ada cinta. Selagi dalam batas-batas syariat, selagi itulah cemburu itu selamat. Puan punya banyak masa sekarang?”
“Begitulah ustaz. Ketika bukan giliran saya, ada banyak masa untuk melaksanakan amalan-amalan sunat, membaca Quran,  dan buku-buku yang tangguhkan membacanya sejak dulu.”
“Itulah hikmahnya. Ada masa untuk membina dan memperbaiki diri sendiri kerana walau bagaimana baik sekalipun pendidikan yang diberikan oleh suami, isteri tetap perlu mendidik dirinya sendiri,” dorong saya.
“Seperti mana perkahwinan pertama dahulu diuji, begitulah perkahwinan kedua ini, pasti diuji. Iman itu bahagia. Iman itu diuji. Justeru, bahagia itu bila diuji,” ujar saya perlahan.
“InsyaAllah ustaz, doakan saya tabah. Bukankah selalu ustaz pesankan… jangan pinta hidup yang mudah, tapi pintalah hati yang tabah untuk menghadapinya!”
Saya sebak. Kata-kata yang selalu saya luahkan itu menusuk hati sendiri. Seolah-olah buat pertama kali mendengarnya. Ya, hakikatnya Allah sedang mengingatkan saya ketika mengingatkan orang lain. Tabahkah hati menempuh kehidupan yang tidak akan pernah mudah ini?

 Hidup itu satu ujian

Hidup adalah untuk diuji. Ujian itu tidak akan ada hentinya. Selagi kita diuji, selagi itulah kita masih hidup. Jadi bersyukurlah… Ujian itulah jalan untuk kita mengenal Allah. Allah ‘memperkenalkan’ Dirinya di sebalik semua ujianNya. Pada ujian sakit, Allah kenalkan Dirinya yang Maha Penyembuh. Pada ujian miskin, Allah perkenalkan diriNya yang Maha Kaya. Pada ujian fitnah, Allah sedang memperkenalkan diriNya yang Maha Penyabar…
Tidak ada hari tanpa diuji, kerana atas hukum itulah kita hidup dan mati. Semoga dengan itu kenal kita kepada Allah makin tinggi… dan akhirnya, cinta kita kepadaNya pun semakin meningkat. Hakikatnya, apabila kita belum cinta, itu petanda kenal kita belum sempurna.
Ujian, membuktikan bahawa di sebalik kuasa diri yang sering kita fokuskan ini, ada kuasa Allah yang Maha Berkuasa di atas segala kuasa. Ke situlah perjalanan hati ini sewajarnya dipacu. Sentiasa bersangka baik bukan hanya bermakna yang baik-baik akan berlaku dalam hidup ini, tetapi hati kita diberi kekuatan untuk menghadapi ‘sesuatu yang tidak baik’ dengan hati yang baik.
Apabila berlaku sesuatu yang tidak diduga, tidak disangka, tidak dipinta… jangan kecewa, marah apalagi mencela. Tetapi tanyakanlah diri, apakah maksud baik Allah di sebalik semua itu. Dengarlah ‘bisikan’ tarbiah Allah di sebalik segala mehnah (ujian). Allah tidak akan menzalimi kita. Ujian itu penting, tetapi bagaimana kita menghadapinya jauh lebih penting.
Dalam hidup, peganglah prinsip ini untuk bahagia. Prinsip yang dipegang oleh Nabi Muhammad SAW dalam apa jua ujian yang melanda… “aku hamba Allah, Dia tidak akan mengecewakanku!”
Saudara/i, pembaca… maafkan aku, ketika terlalu sibuk ‘menguruskan’ diri sendiri, aku kehilangan daya untuk terus berkongsi. Bukan kerana mementingkan diri, tetapi begitulah sunnatullah dalam perjalanan hidup… apa yang bergolak di dalam kadangkala menyebabkan segala yang di luar menjadi bungkam.
Namun, mana mungkin kita lari daripada tanggung jawab dan peranan? Lalu, kugagahi juga untuk berbicara… Bicara tentang ujian. Bicara tentang bahagia. Bicara tentang iman…

p/s: Semoga kita dapat mengambil iktibar dari kisah diatas.Adakah iman kita mampu menyamai wanita ini?.Bersamalah kita bermuhasabah diri.Hidup ini tidak akan pernah sempurna kerana hidup ini adalah satu ujian yang perlu kita tempuh demi menentukan siapa dan dimana kita di akhirat sana.Dan beruntunglah pada barangsiapa yang bersabar dan kuat pergantungganNya kepada Allah.

Wallahualam


Sumber: iluvislam.com

Sunday, September 16, 2012

Menjadi Wanita Bahagia:Carilah redha kedua ibu bapa


Kadang-kadang kita sibuk meminta maaf pada orang lain
walau kita tidak pasti apa kesalahan kita

Terkadang kita terlalu leka menjaga perasaan orang lain
sedangkan dia tidak pernah kisah tentang kita

Terkadang juga kita telalu asyik bercerita tentang orang lain
menjadikan dia terlalu penting dalam hidup kita

Terkadang doa kita sentiasa untuk orang lain walau kita mungkin tidak pernah ada dalam
doa-doa dia

Terkadang kita sentiasa memberi yang terbaik walau mungkin hati kita yang terluka

Dan kadang-kadang juga kita terlalu sibuk untuk memaafkan orang lain walau mungkin dia tidak pernah
ingin untuk dimaafkan

Tapi kita sering lupa perkara utama yang perlu kita lakukan

Menjaga hati seorang ibu dan ayah

Dalam saya tidak sedar saya masih seorang  manusia yang ego
Pada orang lain terlalu mudah ungkapan maaf itu saya ungkapkan
Terlalu mudah kemaafan itu saya berikan
Pada orang yang tidak pernah berjasa apa2 pun pada saya
Tapi pada seorang yang bergelar ibu dan ayah pada saya mengapa saya perlu memikir 2 kali untuk meminta maaf.

Saat tangan mak saya kucup untuk pohon kemaafan air mata seakan ingin menitis
"Maafkan Nur sebab ego dengan ibu.Nur nak hidup dalam redha ibu."

Dan seorang ibu itu akan dengan mudah nya memaafkan
"Tak de dosa nur pun.Ibu tak pernah simpan pun dalam hati"

Hari ini saya ingin ajar diri saya
Saya ingin ajar hati ini
Untuk belajar supaya tidak pernah lagi malu dan rasa ego
untuk meminta maaf pada insan yang bergelar ibu dan ayah
Kerana

Saya ingin hidup dalam redha Allah.Dan SEBAB itu saya ingin hidup dalam redha kedua ibu bapa saya.

Sebesar mana kesalahan orang tua kita pada kita tidak akan pernah dapat menandingi jasa mereka yang membesarkan kita.
Tidak pernah dapat kita bayar jasa mereka memberikan makan dan pakaian kita
Dan sebagai anak apa yang kita mampu adalah memberikan doa yang terbaik kepada mereka

Ya semua manusia inginkan sebuah keluarga yang sempurna
Dan ada juga insan2 yang diluar sana yang mungkin tidak bernasib baik
Yang mempunyai masalah-masalah keluarga
Yang rata-ratanya saya baca melalui penulisan mereka di blog-blog

Jika ditakdirkan kamu dikurniakan dengan ibu bapa yang sebegitu
Bersyukurlah kerana kamu mungkin tidak akan mengetahui betapa banyak pahala yang akan kamu
perolehi jika kamu dikalangan orang yang bersabar.
Bersyukurlah walau dengan keadaan begitu kamu masih dibesarkan dengan baik
Bersangka baiklah dengan ibu bapa
Dan dengan cara itulah kamu akan hidup dengan keadaan yang diberkati Allah

Ingatlah tiada manusia yang hidupnya sempurna.Disaat Allah memberikan kelebihan pada sesuatu Dia mungkin akan menarik sesuatu yang lain dari kita.Disaat kamu mungkin lihat dia bahagia dengan sesuatu kamu mungkin tidak tahu perkara lain yang ditangisinya.

Pilihan ditangan kita.Untuk mengatasinya dengan cara yang diredhai Allah atau sebaliknya.

Ingatlah jika kita hanya baik dipandangan orang lain.Kita meminta maaf demi menjaga hubungan dengan orang lain tetapi hubungan dengan ibu bapa kita tidak perlihara hidup kita tidak pernah akan tenang.

Kerana ibu bapa adalah orang yang ketiga terpenting selepas Allah dan rasul.Lihatlah betapa tinggi martabat  mereka yang Allah letakkan.

Semoga kita sentiasa mencari redha ALLAH dengan menjaga redha ibu bapa kepada kita.


Wallahualam  


Wednesday, September 5, 2012

MENJADI WANITA BAHAGIA: Dalam Sedar Kita Perlu Percaya



Dalam hidup ini tahu sahaja tidak cukup
tapi dalam kita menyedarinya kita perlu percaya

~ Nur ~

Seringkali tatkala dilanda kesedihan mahupun ujian kita sering bertanya
"Mengapa aku yang ditimpakan dengan rasa yang sebegini?Mengapa bukan orang lain?"

Kita lupa bahawa kita adalah hambaNya.Apakah hak yang kita ada untuk menyoal Dia?.

Tahukah muslimah, mungkin kerana ketidaksyukuran inilah yang banyak membuat kaum kita menjadi seperti ini.Kerana kita lupa dengan nikmat lain yang telah diberi olehNya.

Ya dugaan itu memang menyakitkan.Tapi mengapa kita diduga.Kerana tanpa dugaan kita lupa pada Dia.

Muslimah sekalian,

Dugaan itu adalah tanda cinta Allah pada hambaNya.Tanda kerinduan Dia untuk mendengar esak tangis kita merayu padaNya.Dan sebagai cara untuk menghapuskan dosa-dosa.

Terkadang saya sering bertanya pada diri.Persoalan demi persoalan saya cuba rungkaikan demi sebuah jawapan.Kadang-kadang kita amat pasti dan kita tahu apa yang terbaik.Jawapan sudah jelas terbentang di depan mata.Walau sedalam mana dinilai,walau dari sudut mana pun yang diukur, keburukan masih mengatasi kebaikan.

Tetapi hati masih mengatasi akal.Dan jawapannya adalah kerana untuk tahu dan sedar sahaja memang tidak akan mencukupi tapi dalam kita sedari kita perlu percaya.

Kita perlu percaya dengan sepercayanya bahawa apa yang ditentukan Allah dan ujian yang diberinya bukan untuk menyakitkan kita sahaja.Tetapi kerana dia lebih tahu yang terbaik untuk kita.Mungkin kerana pergantungan kita pada Allah terlalu lemah membuat kita sering risau dan takut akan perkara yang kita tidak tahu apa yang akan terjadi di masa hadapan.

Jika kita percaya Allah akan sentiasa memberi yang terbaik maka tidak akan ada kerisauan lagi di dalam hidup ini.Jika ditimpa ujian kita redha dan jika diberi rezeki kita bersyukur.

Hidup ini adalah untuk beribadah padaNya kerana kita tidak tahu sesingkat mana masa yang kita masih ada.Semoga kita sentiasa diberkatinya dan mendapat husnul khotimah di akhir hidup kita.Insyaallah.




Wallahualam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Berita Tentang Islam Di Seluruh Dunia